Mari kita bantu mereka…

HULU LANGAT: “Kalau ayah meninggal, ayah harap sangat doa dari anak-anak yang soleh mendoakan ayah….” ucap Abdul Karim Abd Aziz, 51, kepada anak keempatnya, Imanina Abdul Karim, 19, sehari sebelum beliau terkorban dalam satu kemalangan ngeri di Lebuh Raya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi Ahad lalu.

Menurut anak sulungnya, Imtinan, 24, pesanan tersebut diluah arwah ayahnya semasa menghantar adiknya Imanina, 19, di Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur, untuk pulang ke kampungnya di Lenggung, Perak, petang Sabtu lalu.

Imtinan yang ditemui di rumahnya di No, 40, Jalan KM 3, Darul Hidayah, 43100, Hulu Langat, Selangor berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka pesanan ayahnya itu menjadi kenyataan.

Dalam tragedi tersebut, Abdul Karim memandu kereta Perodua Kancil maut apabila kenderaannya dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.

Abdul Karim yang bekerja sendiri, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala isterinya, Maimon Said, 52, dan anak lelakinya, Mohd Ihsan yang berada dalam kereta itu turut parah.

Maimon dan Mohd Ihsan dirawat di PPUM dan mereka berdua yang koma semasa kemalangan tersedar pagi Selasa lalu.

Abdul Karim yang dikebumi di tanah perkuburan yang tidak jauh dari rumahnya meninggalkan dua belas anak yang berusia antara sembilan hingga 24 tahun.

Sementara itu, Imtinan yang terpaksa mengambil alih tugas untuk menjaga adik-adiknya berkata, beliau reda dengan nasib yang menimpa mereka sekeluarga.

Beliau yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama rakyat, dekat sini berkata biarpun gajinya lebih kurang RM1000 beliau akan cuba sedaya upaya menjaga adik-adiknya.

“Memanglah selama ini kami adik beradik bergantung penuh kepada ayah, baik duit belanja ataupun menghantar adik-adik ke sekolah dan sebagainya.

“Lagipun nasib umi (ibunya) tidak tahu lagi sebab dia pun serius juga,” ujarnya dengan nada sedih.

Malah katanya, beliau tidak mahu adik-adiknya tercicir dalam pelajaran walaupun terpaksa menyara enam lagi adik-adiknya yang masih bersekolah.

Katanya, selagi termampu beliau akan menjaga adik-adiknya biarpun beliau masih kabur untuk mencari wang secukupnya.

Di saat ini juga katanya, beliau belum terfikir untuk membuat persiapan menyambut kedatangan Aidil Fitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini termasuk baju raya adik-adiknya belum dibeli lagi.

“Tidak tahulah sama ada mampu beli ataupun tidak kerana sebelum ini ayah yang belikan dan biasanya ayah beli pada akhir Ramadan,” ujarnya sambil merenung adik-adiknya.

Bahkan ujarnya, mungkin mereka adik beradik tidak dapat balik kampung di Lenggung, Perak, pada hari raya ini.

“Macam mana nak balik kereta kancil ayah remuk sama sekali dan kami pula ramai,

“Sebelum ini pun kami terpaksa tumpang kereta bapa saudara kerana kami hanya ada kereta kancil itu saja dan itulah kali ini saya rasa lagi sukar untuk beraya di kampung,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, suasana hiba masih menyelubungi keluarga tersebut.

Tatkala Harakah bertandang ke rumah mereka Selasa lalu, seramai sepuluh adik beradik malang itu berkumpul di rumah mereka dengan ditemani nenek mereka (ibu arwah) Hamsah Said, 73 dan ibu saudaranya Zulfa Abddul Aziz, 38.

Mereka terdiri daripada, Imtinan, 24, Ibtihal, 23, Inshyirah, 21, Izyani, 18, Ilhamina, 17, Ibtisam, 17, Ibtihaj, 16, Ismahani, 15, Mohd Ikram 14 dan Imtiyaz, 9 tahun.

Sementara itu, seorang lagi adiknya, Imanina, 19, berada di PPUM menjaga ibu dan adiknya, Mohd Ihsan 11 tahun yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Setiap kali kakak mereka bercerita mengenai ayahnya masing-masing bergenangan air mata.

Paling tersentuh apabila melihat Mohd Ikram yang diapit kakak dan adik-adiknya tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun apabila ditanya mengenai cita-citanya.

Beliau terus menundukkan kepala beberapa ketika bagi menahan sebaknya. Pelajar Maahad Tahfiz, Batu 16, Ulu Langat ini hanya mampu memandang keluarganya dengan penuh sayu sambil menyapu air matanya.

Ketika ini juga adik beradiknya yang lain termasuk neneknya berlinangan air mata melihat kesedihan dan kesyahduan Ikram.

Sementara itu, anak-anaknya memberitahu Abdul Karim pada Ahad lalu terlewat bangun untuk bersahur iaitu kira-kira jam 5.40 pagi.

Pada pagi itu, ayah mereka banyak berdiam diri.

Semasa ayah dan ibunya keluar rumah untuk ke pasaraya berkenaan pun ramai anak-anaknya tidak tahu ke mana pasangan tersebut.

“Tiba-tiba lebih kurang dalam pukul 11.00 pagi kami mendapat panggilan dari polis mengatakan ayah kemalangan,” cerita Imtinan.

Dalam pada itu, Inshyirah yang mengambil upah menjahit baju, berkata beliau akan mencari pekerjaan lain untuk membantu adik-adiknya.

Beliau yang menetap bersama neneknya di Perak berkata, tidak akan membiarkan adik-adiknya susah.

“Yang penting persekolahan mereka dan ayah pun sebelum ini bersekang mata untuk menyara kami,” kata.

Sementara itu sesiapa yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Inshyirah Abdul Karim: 158136726121 – Maybank.

Read more www.anakkuwiraku.com

3 thoughts on “Mari kita bantu mereka…

  1. Insaf sekejap bila baca ni…

    Nenek Lin slalu berpesan "Bila kita tgh susah, jgn fikir kita ni susah.. ade lagik orang lain yg lebih susah dr kite….."
    betulla kata nenekku itu…

    InsyaAllah…
    di bulan ni pun digalakkan banyak bersedekah…

  2. Terima kasih kerana berkongsi cerita ni.

    Rasa bersyukur sangat dengan apa yang Allah telah berikan pada diri sendiri, bila terkenangkan mereka yang lebih susah.

    Menderma di bulan ramadhan yang mulia ini, pahala akan digandakan berlipat kali ganda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *