Kolesterol: Musuh dalam selimut atau kawan yang disalah faham?
Pernah tak dengar ayat, “Eh jangan makan telur banyak sangat, nanti kolesterol naik!”. Kadang-kadang kita dengar macam makanan tu semua jahat.
Telur salah, daging salah, udang pun jadi suspek utama setiap kali nak check-up. Padahal… realitinya, tubuh kita sendiri yang buat kolesterol tu. Kira macam kilang dalam badan — hati kita — yang rajin sangat produce kolesterol 24 jam tanpa henti.
Kolesterol ni bukan musuh pun sebenarnya. Dia ada kerja penting: bina dinding sel, buat hormon, tolong hasilkan vitamin D, malah bantu proses penghadaman.
Kalau tak ada kolesterol, badan kita jadi macam rumah tiada dinding — roboh. Jadi, kolesterol bukanlah villain dalam cerita Marvel… dia lebih kepada side character yang selalu difitnah.
Masalah bermula bila kolesterol terlebih, bukan sebab kita makan lemak je, tapi sebab gula berlebihan.
Ini part plot twist yang ramai tak tahu. Bila kita minum teh ais viral segelas besar lepas tu follow up boba brown sugar, kemudian kudap karipap sambil Netflix… gula dalam darah naik macam harga rumah.
Badan pun panik, tak tahu nak letak gula tu kat mana. Jadi dia hantar pergi hati untuk diproses. Dan hati pun dengan kreatifnya, tukar gula tu jadi… lemak & kolesterol.
Ibarat rumah penuh barang Shopee tak buka-buka, akhirnya semua disumbat bawah katil. Nampak kemas, tapi masalah makin besar. Jadi semakin banyak gula kita makan, semakin aktif lah hati kita buat “stok lemak” dan mula simpan dekat salur darah.
Yang ini lah nanti boleh jadi blockage, sumbat darah, punca serangan jantung dan strok. Bukan sebab kita makan telur dua biji masa breakfast tadi, tapi sebab teh ais dua kali sehari tu sebenarnya.

Lemak yang kita makan boleh naikkan kolesterol? Boleh juga, tapi antara dua — gula lebih bahaya. Sebab lemak, terutamanya lemak sihat macam avocado, olive oil, ikan salmon — semua itu slow release dan tubuh tahu macam mana nak urus.
Gula pula datang macam pelumba haram — tiba-tiba, mengejut, terus spike. Hati terkejut, pancreas terkejut, semua pun terkejut.
Dan jangan lupa ada dua kategori popular:
• LDL – ini yang selalu dijadikan watak antagonis, kolesterol “jahat”. Tapi dia pun ada kerja. Masalah bila dia terlalu banyak dan melekat dekat dinding salur darah.
• HDL – hero yang tolong kutip lebihan kolesterol dan hantar balik ke hati untuk diproses.
Dalam drama ni, kita sebenarnya nak lebih ramai hero (HDL) daripada villain (LDL). Senang cerita, kalau ramai HDL, badan kita lebih selamat walaupun ada LDL dalam kadar normal.
Apa lagi faktor yang buat kolesterol naik?
Kurang tidur, stress melampau, merokok, malas bergerak. Maksudnya bukan perut je rajin simpan lemak, stress pun boleh buat hati rajin buat kolesterol. Power kan hati? Multitalented gitu.
Bila doktor cakap “Kolesterol awak tinggi sikit ni,” jangan terus salahkan sambal udang atau ketupat raya. Cuba reflect sikit: berapa kali sehari minum minuman manis? Berapa kali last kita buat brisk walking 30 minit? Badan kita bukan robot, kalau overloaded, dia bagi warning. Kena sayang hati kita sebab dialah manager yang uruskan semua groceries dalam badan.
Kesimpulannya, kolesterol bukanlah “jahat”. Kita yang bagi dia jadi jahat. Bila gula berlebihan, hati kena kerja lebih masa, tukar gula jadi lemak, lemak berkumpul jadi kolesterol tak sihat, akhirnya salur darah pun menangis.
Jadi kalau nak turunkan kolesterol, jangan fokus potong telur je… potong minuman manis tu dulu 🤭
Amalkan gaya makan yang seimbang, lebihkan fiber, sayur, buah yang kurang manis, tambah healthy fat, kurang makanan proses. Gerakkan badan setiap hari, dan tidur jangan culas. Kolesterol akan behave kalau kita pun behave.
Jadi selepas ni, jangan takut pada telur. Takutlah pada gula yang menyamar dalam bentuk air kotak, kuih tradisi, kek sedap, biskut raya dan “minum petang sikit je…” yang sebenarnya tak sikit mana pun 😂