BILA DUIT BUKAN SEGALANYA

Pernah rasa macam ni tak?
Kadang-kadang kita rasa pelik. Gaji dah masuk, bonus pun dah dapat, tapi hujung bulan tetap terasa sempit. Duit yang banyak tu, entah ke mana perginya. Hati pun rasa tak tenang, cepat marah, dan mudah sangat penat. Tapi, bila tengok orang lain yang gajinya tak sebesar mana, hidup mereka nampak lebih lapang, anak-anak tersenyum riang, rumah kecil tapi bahagia. Masa tu kita mula terfikir… mungkinkah kita ada banyak rezeki, tapi kurang keberkatan?
Rezeki yang berkat bukan bermaksud banyak, bukan juga bermaksud mewah. Berkat itu bila sedikit rasa cukup. Bila cukup, boleh kongsi. Bila kongsi, hati pun rasa senang. Ia datang dalam bentuk yang halus – kadang berupa ketenangan jiwa, anak yang mendengar kata, pasangan yang setia, atau kesihatan yang tak disangka-sangka. Ia tak selalu muncul dalam angka, tapi jelas terasa dalam jiwa.
Dalam hidup ni, kita diajar untuk kejar rezeki. Kita belajar tinggi-tinggi, kerja siang malam, buat side income sana-sini – semua kerana nak cari lebih. Tapi dalam kesibukan mengejar “lebih”, kadang kita lupa soal “asal”. Dari mana datangnya rezeki itu? Adakah daripada sumber yang bersih? Adakah ada hak orang lain yang tak ditunaikan? Kita terlalu fokus pada jumlah, sampai lupa pada nilai di sebaliknya. Bila kita ambil yang bukan hak kita, walaupun nampak macam rezeki bertambah, sebenarnya keberkatan makin hilang sedikit demi sedikit.
Pernah tak kita rasa, ada hari yang kita rasa duit sikit pun cukup? Semua benda jadi mudah. Anak-anak tak meragam, kerja lancar, hati pun rasa lapang. Itulah contoh keberkatan. Tapi ada juga hari, duit ada, tapi asyik bergaduh, badan letih, anak sakit, kereta rosak – macam ada sesuatu yang “bocor” dalam hidup. Itu tandanya mungkin ada sesuatu dalam rezeki kita yang tak bersih atau kita terlupa untuk syukuri.
Berkat itu datang bila kita letak Allah dalam setiap urusan kita. Bila kita mula hari dengan doa dan reda. Bila kita hulur tangan kepada orang yang lebih susah, bukan sebab kita banyak, tapi sebab kita faham rasa cukup itu tak bergantung pada jumlah. Sedekah bukan sebab kita mampu, tapi sebab kita yakin. Yakin bahawa apa yang diberi, bukan hilang, tapi disimpan oleh Allah dalam bentuk lain – ketenangan, kesihatan, atau mungkin keselamatan dari musibah yang tak terlihat.
Kita juga selalu lupa bahawa keberkatan bukan hanya dari apa yang kita terima, tapi dari bagaimana kita menguruskan dan menggunakannya. Bila kita guna rezeki untuk bantu mak ayah, untuk bagi anak makan makanan halal dan berkhasiat, untuk bayar hutang, untuk bantu sahabat , semua tu akan kembali kepada kita dengan cara yang luar biasa. Pernah seorang ibu tua kata, “Mak cik tak banyak duit, tapi tiap kali mak cik hulur RM10 kat orang, mesti Allah ganti lebih. Entah dari mana. Kadang anak yang jarang call pun tiba-tiba balik bawa lauk. Itu pun rezeki, kan?”
Itulah keindahan bila kita faham konsep berkat. Ia bukan benda yang boleh dikira dengan kalkulator. Ia dirasa oleh hati yang bersih, dan dihidupkan oleh perbuatan yang ikhlas. Dalam masyarakat kita hari ni, terlalu ramai yang stress kerana rezeki. Tapi mungkin bukan sebab rezeki tak cukup atau mungkin sebab kita tak letakkan Allah di tempat yang sepatutnya dalam usaha kita.
Kita boleh kerja keras, sangat keras tapi jangan lupa rehatkan jiwa .
Jangan sampai kita kejar dunia sampai solat pun kita tinggal.
Dek kerana sampai nak untung cepat sampai sanggup tipu pelanggan.
Biar sampai nak nampak gah sampai abaikan keluarga.
Duit boleh kita cari, tapi keberkatan itu hanya datang bila Allah izinkan.
Dan Allah izinkan bila kita jaga hubungan dengan Dia dan dengan manusia.
Jadi, bila kali terakhir kita duduk renung sejenak, dan tanya diri kita “Rezeki aku ni berkat tak?” Bila kali terakhir kita buat sesuatu bukan sebab nak duit, tapi sebab nak reda Allah?
Bila kita mula fikir macam ni, kita akan mula jaga niat. Kita akan mula hormat duit yang masuk walaupun sikit. Kita akan rasa cukup, walau tak banyak. Dan kita akan rasa bahagia, walaupun belum kaya.