Shaklee Malaysia

Master Coordinator Shaklee Malaysia

Archives

Iktibar dalam sebuah perjalanan ; sila-sila…..

“Kepala dia tersangkut di dalam stereng ! ” Itulah kata-kata Bob kepada kami selepas menaiki kereta dan kami meneruskan perjalanan apabila polis dan ambulan telah datang untuk cuba selamatkan beliau.

Banyak memori indah dan pengalaman manis yang tak dapat saya lupakan sepanjang belajar di UM dan terutama menetap di Kolej Kediaman Keempat UM.

Walaupun saya kehilangan arwah abah semasa di Asasi UM, namun Allah tak biarkan saya seorang diri. Saya sentiasa mendapat sahabat karib yang ramai. Malah senior2 Kolej sangat baik.

Saya masih ingat satu peristiwa yang tersemat di dalam minda saya….sewaktu perjalanan ke Kuala Terengganu untuk melawat rumah salah seorang junior saya Azira. Kami bertolak malam bersama kawan karib kolej kami iaitu Bob. [ Sepatutnya panggilan abang Bob sebab beliau lebih veteran tetapi beliau mesra dengan panggilan Bob sahaja dengan saya].

Malam itu saya duduk di sebelah pembawa iaitu Bob. Maklumlah jalan sebelah malam sedikit lengang. Dalam jam 2 pagi kalau tak silap, tiba-tiba sebuah kereta memandu sangat laju dan pada permulaannya kami saling berlumba. Namun selepas satu ketika, Bob tak mahu bersaing dengan pemandu kereta itu.
Saya masih ingat kata-kata Bob, ” Tak per la, jalan dulu”.

Kereta itu terus memecut dan berlalu pergi. Kami meneruskan perjalanan seperti biasa. Untuk mengelakkan mengantuk, Bob memasang lagu nasyid dan berselang seli dengan nyanyian beliau. Waktu itu Aida dan Azira yang turut sama sudah mula melayani mata yang mengantuk.

Selepas 30 hingga 45 minit kemudian, kami melalui satu kawasan yang penuh dengan kerumunan manusia. Rupa-rupanya ada sebuah kereta yang terbabas. Kereta itu adalah kereta yang memecut dan memotong kami tadi. Bob memberhentikan kereta dan ingin memberikan bantuan yang perlu kepada mangsa. Kami 3 orang sahabat tinggal di kereta yang di park jauh sedikit dari tempat kejadian.

Semasa dalam kereta, kami hanya berdoa moga si pemandu itu selamat. Takut juga kalau ada kematian dan badi, selisih malaikat 44.

Selepas setengah jam, Bob kembali ke kereta dan meneruskan perjalanan kami selepas Polis dan Bomba tiba di tempat kejadian untuk memberikan pertolongan. Bob kata syukur kami tidak berlumba dengan beliau, sekurang-kurangnya kami selamat. Waktu itu terlintas di fikiran saya, jika kami yang mendahului perjalanan tadi, adakah kami yang tersurat pada malam itu? Namun balik pada qada’ dan qadar…segalanya telah tertulis.

Iktibar dari kisah itu yang saya ambil ialah, jika ada sesiapa yang ingin bersaing atau ingin menunjukkan kehebatannya, maka berikan mereka laluan. Kerana sekurang-kurangnya kita pasti selamat dari sesuatu yang menanti di hadapan. Mungkin saya bukan jenis orang bersaing dengan orang lain. Saya bersaing dengan diri sendiri agar tidak malas dan usaha menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.
Hidup ini bukanlah satu perlumbaan dengan makhluk yang lain tetapi perlumbaan dengan diri sendiri melawan nafsu untuk mendapat kasih Allah.
Sesungguhnya ALLAH bersama hambaNya yang sabar dan beriman padaNya.

Doa banyak-banyak moga kita dan keluarga selamat dunia dan akhirat. Berjaya dan selamat dunia dan akhirat. Luaskan pintu rezeki dengan doa untuk ibu bapa, guru dan para sahabat.

Sesungguhnya tiada siapa tahu bagaimana perjalanan terakhir di alam fana ini…Saya mengakhiri penulisan saya ini dengan memohon kemaafan pada semua yang mengenali diri ini. . Saya bukanlah manusia yang sempurna dan pastinya melakukan kesilapan yang mungkin tidak saya sedari menyinggung perasaan kalian. Saya mendoakan semoga ALLAH memberikan taufik hidayah dalam apa jua yang kita lakukan.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam………

Salam sayang.

Ibu Addinnasa

Read more www.anakkuwiraku.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *